SAYA adalah antara penduduk Batu Kurau yang setia untuk terus menetap di kawasan yang dahulunya pernah dianggap tersisih dari arus pembangunan.

Kesabaran saya dan penduduk yang lain nampaknya berbaloi kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kemajuan dan kepesatan Batu Kurau begitu jelas kelihatan.

Cuma saya hendak mengutarakan satu masalah yang dihadapi penduduk Batu Kurau sejak sekian lama iaitu ketiadaan balai bomba yang sering menyebabkan kelewatan operasi memadam api setiap kali berlaku kebakaran.

Sejak sekian lama, rata-rata kes kebakaran di kawasan tersebut berakhir dengan kemusnahan yang besar kerana pihak bomba tidak sempat menyelamatkan harta benda berikutan kedudukan balai bomba yang agak jauh.

Setahu saya, balai bomba terdekat adalah di Taiping yang memakan masa kira-kira satu jam. Bayangkan bagaimana kebakaran dapat dipadam dengan pantas jika api sedang marak tetapi pihak bomba sedang kelam-kabut untuk datang dari jauh.

Bayangkan juga betapa besar risiko kebakaran akan merebak ke rumah penduduk yang lain ekoran tindakan pencegahan tidak dapat dilakukan dengan segera.

Selain nyawa yang menjadi pertaruhan, turut menyedihkan ialah nasib mangsa kerana setiap kali kebakaran, mereka hilang hampir segala-galanya termasuk harta benda.

Secara peribadi, saya terpanggil untuk membangkitkan isu ini kerana baru-baru ini rumah Paklong Berahim, antara sahabat saya turut menjadi mangsa apabila rumahnya musnah sama sekali dalam kebakaran.

Ketika kejadian, kami penduduk berhempas pulas untuk membantu tetapi dengan ketiadaan punca sumber air yang mencukupi, tidak banyak yang dapat dilakukan selain membantu keluarga mangsa menyelamatkan nyawa.

Dengan ini, saya merayu kepada pihak berkuasa untuk menyelami masalah yang kami hadapi ini. Dengan adanya balai bomba dan penyelamat, risiko kehilangan nyawa dan kerugian harta benda dapat dikurangkan.

Pada masa sama, pembinaan kemudahan itu juga penting untuk kerja-kerja menyelamat ketika berlakunya kemalangan khususnya di sekitar Batu Kurau dan Selama.

ABU SEMAN HANAPIA

Batu Kurau.