“Ini mengguris hati kami,” kata Nik Mohd Nasir Nik Harun, 41, waris kepada individu yang dikebumikan di tanah perkuburan lama di Jalan Gajah Mati di Kota Bharu.

Menurutnya, ramai waris terkilan dengan tindakan pihak berkaitan yang tidak menjalankan kerja meratakan tanah di kawasan itu dengan baik.

Ia menyebabkan batu nisan kubur yang sudah digali semula, dibiarkan berselerakan.

Difahamkan, kerja meratakan tanah di kawasan seluas kira-kira 0.57 hektar di situ, bagi membolehkan tapak berkenaan dimajukan.

Nik Mohd yang mendakwa generasi ke-10 seorang pembesar Kelantan berkata, moyangnya, Long Bahar dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Dia mendakwa, tiga lagi tokoh lain iaitu Raja Pah, Long Deraman, serta seorang ulama dari Acheh, turut disemadikan di situ.

Difahamkan, tanah perkuburan dikenali sebagai Langgar (kubur) Burok itu wujud sejak lebih 700 tahun lalu dan menempatkan banyak makam kerabat diraja, pembesar dan ulama Islam.

“Saya mewakili semua waris yang terbabit berasa amat sedih dan kecewa dengan kerja meratakan kawasan ini dilihat tidak mengikut adat dan adab.

“Banyak batu nisan dilihat berselerak dan ini sangat mengguris hati kami selaku waris si mati dan umat Islam.

“Saya berharap pihak berwajib dapat menitikberatkan cara pengurusan yang sesuai termasuk memanggil waris dan kami juga bersedia menyediakan tapak (kubur) untuk proses pemindahan,” katanya ketika ditemui NSTP.

Tinjauan di tanah perkuburan yang menempatkan kira-kira 200 kubur itu mendapati banyak batu nisan berselerak selain ditenggelami selut akibat hujan.

NSTP difahamkan, kubur berkenaan akan dipindahkan ke beberapa tanah perkuburan di sekitar Kota Bharu.

Sementara itu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara Kelantan, Che Ibrahim Muhammad mendakwa, proses pengambilalihan tanah perkuburan lama itu tidak mengambil kira sentimen umat Islam.

“Sensitiviti umat Islam akan terusik kerana kubur yang berusia lebih 700 tahun akan dimusnahkan begitu sahaja untuk tujuan pembangunan.

“Sedangkan, ia menempatkan banyak kubur milik kerabat diraja Melayu kuno dan pembesar yang memerintah pada zaman dulu,” katanya – hmetro