TAIPING: Lapan buah batu nisan di tempat bersejarah Tanah Perkuburan Perang Taiping telah ditemui pecah dan rosak.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian dipercayai akibat vandalisma itu telah dimaklumkan oleh pekebun tanah perkuburan tersebut pada Selasa lalu.

“Kita telah lakukan siasatan di tempat kejadian dan tiada pakaian dalam mahu pun kondom telah ditemui di tanah perkuburan tersebut.

“Sebelum ini benda-benda tersebut selalunya terdapat di kawasan berkenaan kerana terdapat kes individu menceroboh tanah perkuburan itu untuk melakukan aktiviti seks,” katanya pada Khamis.

Justeru beliau menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai pencerobohan dan vandalisma itu untuk tampil membantu siasatan.

Tanah perkuburan itu merupakan tempat persemadian mayat-mayat tentera yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua.