IPOH – Seorang bapa tergamak membawa bayi berusia 18 bulan untuk melepaskan gian di sarang penagih dadah di Kampung Bor, Banggul Belimbing, Lenggong.

Lelaki berusia 28 tahun itu merupakan salah seorang daripada sembilan yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Perak dalam Ops Perdana yang diadakan hari ini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Perak, Nor Hajar Aswat Kamis berkata, berdasarkan siasatan, suspek berkahwin dua tahun lalu dengan isteri yang kini berumur 18 tahun dan menyara keluarga dengan berniaga kacangĀ  di pasar malam bersama isteri.

Katanya, operasi yang bermula jam 7 pagi dan berakhir 12 tengah hari dibuat hasil laporan orang awam memaklumkan kepada pihak AADK.

Katanya, dalam operasi yang diketuai Mohd Fuad Nik Sapian itu, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 28 hingga 66 tahun dan positif dadah jenis morphine.

“Seramai 10 anggota terlibat dalam operasi ini dengan lima daripadanya AADK dan selebihnya dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menahan seorang warga emas berusia 66 tahun yang turut positif dadah.

Menurut beliau, suspek sanggup menaiki bas dari Kampung Kota Lenggong ke sarang penagihan untuk melepaskan gian.

Sementara itu, Nor Hajar berkata, kerjasama dan sokongan dari semua pihak terutamanya pihak polis serta masyarakat setempat amat diperlukan bagi mengempur masalah dadah tersebut.

“Bukan setakat maklumat perlu disalurkan malah masyarakat juga perlu ada kesedaran dalam menjaga keselamatan komuniti setempat.

“Rasa tanggungjawab terhadap komuniti perlu dipupuk dalam diri masyarakat untuk kita sama-sama dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat,” katanya.