IPOH: Tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak membawa mesin fotostat dan generator ke pejabat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sebagai tanda protes terhadap suruhanjaya itu hanya untuk mencari publisiti murahan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, ia hanya untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap SPR dan kerajaan Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke – 14 (PRU14) yang semakin hampir.

Menurut beliau, itulah modus operandi pembangkang setiap kali menghadapi pilihanraya dengan menyerang SPR dan kerajaan BN, walaupun mereka tahu ia semua tidak benar.

Bercakap kepada Suara Perak pada Jumaat, Shahril memberi contoh dakwaan 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh dan isu dakwat yang akhirnya hanya untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap SPR dan kerajaan.

Menurut beliau, tindakan pembangkang membawa mesin fotostat, generator dan kain rentang ke pejabat SPR itu juga menunjukkan sikap double standard mereka.

“Semasa Datuk Jamal Md Yunus membawa baldi, katil dan beberapa tindakan seumpama itu di Selangor tempohari, mereka telah menyerang dan menggelar beliau dengan beberapa gelaran yang tidak baik.

“Tetapi kini, mereka pula bertindak seperti Datuk Jamal…inilah sikap lidah bercabang, meludah ke langit dan cakap Tidak serupa bikin pemimpin pembangkang,” katanya.

Semalam PKR membawa mesin fotostat dan generator ke pejabat SPR sebagai tanda protes kerana SPR tidak membekalkan senarai Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) dalam bentuk `softcopy’ atau cakera padat, kepada parti-parti politik.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed pula menyifatkan tindakan itu hanya untuk mendapatkan publisiti murahan kerana SPR memang melaksanakan proses pameran dan bantahan rang daftar itu di 960 tempat.

“Kenapa tidak buat ikut lunas undang undang…saya anggap ia satu lagi cubaan untuk menggambarkan SPR tidak telus dan dijadikan bahan kempen kononnya wujud pengundi hantu,” ujarnya.

Salbiah berpendapat, tindakan itu juga membuktikan pembangkang sarat dengan agenda menanam kebencian masyarakat terdapat SPR dan kerajaan.

“Sebab itu saya suka mengggap pembangkang macam seekor lalat, walaupun berada di dalam taman yang penuh bunga dengan bau-bauan wangi, tetapi tong sampah juga yang mereka cari,” katanya.

Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin sayap UMNO itu menyeru rakyat, khususnya anak muda, supaya tidak terpedaya dengan taktik pembangkang yang sentiasa mengamalkan politik kebencian dan tidak pernah bersetuju dengan apa yang kerajaan lakukan.