TAPAH – Kerajaan negeri mendedahkan terdapat projek pembangunan di Bagan Datuk yang sudah dibayar 85 peratus sedangkan kerja hanya 13 peratus siap.

Exco kerajaan negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkara itu antara faktor menyebabkan projek pembangunan di Bagan Datuk dihentikan sementara bagi kajian semula.

“Kita ada bukti mengenai projek ini dan sudah pasti ia tidak adil lebih-lebih lagi melibatkan soal wang rakyat.

“Kerajaan negeri juga tidak mahu ada projek belum siap tapi pembayaran hampir selesai kalau boleh kita nak ikut konsep 10 peratus siap jadi bayar 10 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang milik KYM Holdings Berhad, di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Nizar lagi, keputusan memberhentikan projek berkenaan dilakukan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan mengkaji semula sebelum keputusan dibuat kerajaan Pusat kembali.

Ditanya berapa lama projek di Bagan Datuk terpaksa diberhentikan, Mohammad Nizar berkata, semuanya bergantung kepada lokasi serta jenis projek tersebut.

“Bagaimanapun projek yang memenuhi kehendak orang ramai seperi Lebuhraya Pesisir Pantai (WCE) masih diteruskan kerana sudah melebihi 65 peratus dan sudah pasti ia adalah untuk kebaikkan rakyat,” katanya.

Mohammad Nizar juga memaklumkan selain Bagan Datuk Water City, terdapat dua lagi projek mega yang terpaksa diberhentikan sementara iaitu lebuhraya dari Ipoh ke Kubu Gajah serta Lapangan Terbang Seri Iskandar – sinar