LUMUT 20 Okt. – Kerajaan bercadang untuk menetapkan had pembayaran balik pinjaman sekurang-kurangnya RM100 sebulan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) terutama lepasan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, cadangan itu perlu dilaksana segera untuk memberi peluang kepada pelajar lama dan baharu yang mahu menyambung ke tahap seterusnya di pusat bertauliah TVET awam dan swasta.

Menurutnya, sehingga kini hampir 120,000 dari 400,000 peminjam liat untuk membayar balik pinjaman sehingga menyebabkan kementeriannya menghadapi masalah membuat pusingan pembiayaan tersebut.

“Apa yang perlu dilakukan ialah segera mendapatkan bayaran balik pinjaman ini dan jika kita memperoleh duit ini, kerajaan tidak perlu lagi beri peruntukkan tahunan kepada kementerian.

“Saya telah berjumpa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk mendapatkan kebenaran supaya peminjam harus membayar RM100 sebulan sehingga hutang mereka selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Dewan Komuniti Kuil Sri Ramar Thelavaya Paripalana Sabah, di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Menurut Kula Segaran, jumlah bayaran balik pinjaman tersebut perlu dibuat selepas enam bulan pelajar menamatkan pengajian.

Katanya, bagaimanapun jika peminjam tidak mempunyai pendapatan kerana masih belum bekerja, mereka boleh membuat rayuan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman.

“Kerajaan memahami keadaan mereka yang kebanyakannya masih muda dan datang dari keluarga yang miskin, jadi kerajaan bagi kelonggaran.

“Jika mereka tidak bekerja, bolehlah datang ke pejabat PTPK untuk membuat penangguhan pembayaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE