Oleh:Nazialita Geynna Maharan

LENGGONG:Kemudahan pembayaran balik dan pelbagai tawaran insentif merupakan faktor utama peningkatan pengeluaran kewangan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah kutipan bayaran balik pembiayaan PTPTN telah meningkat dengan mendadak sejak tahun 2015 dan mencatatkan nilai sebanyak RM3.4 billion pada tahun lepas.

Beliau mengakui jumlah kutipan bayaran balik tersebut telah melebihi sasaran dan ia merupakan perkembangan yang positif.

“Kami akui, terdapat peningkatan yang mendadak dari segi pembayaran balik pembiayaan daripada peminjam dan KWSP juga menyatakan daripada RM1.4 billion daripada pengeluaran itu adalah untuk tujuan pendidikan, jadi ini merupakan satu perkembangan positif.

“ Apa yang kami cuba lakukan adalah, memastikan aliran kewangan dalam simpanan PTPTN mencukupi bagi memenuhi keperluan pelajar baru yang hendak memulakan pengajian, ini hasrat dan prinsip kami selaras dengan impian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah sesi Lawatan Penyerahan Katil Bersalin Baru dan Pusat Mainan Kanak-kanak bernilai RM20,000 sebagai Program CSR PTPTN untuk memudahkan ibu bersalin di sekitar Lenggong.

ptpn 2

Shamsul berkata, sebarang pengeluaran daripada akaun kedua KWSP adalah mematuhi undang-undang dan prosedur dan atas persetujuan daripada pihak KWSP, PTPTN dan peminjam itu sendiri.

Pada Jumaat lepas, pihak KWSP mencatatkan peningkatan sebanyak 150 peratus dalam pengeluaran akaun kedua bagi tujuan pendidikan, iaitu sebanyak RM1.4 billion dalam 86,725 transaksi bagi tahun 2016 berbanding hanya Rm578 million bagi tahun sebelumnya.

Tambahnya, PTPTN menjangka kutipan bayaran balik sebanyak RM4 billion bagi tahun 2017 dan pembukaan sebanyak 350,000 akaun SSPN i-Plus khusus bagi tabungan masa hadapan.

Nasihat beliau, agar masyarakat boleh memupuk budaya menabung sejak kecil dan mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada pinjaman institusi kewangan dan mula beralih kepada jaminan simpanan tersendiri.

Katanya, masyarakat harus mempunyai kesedaran untuk mula menabung di SSPN i-Plus bermula sejak lahir dalam menjamin kewangan anak masing-masing sekiranya melangkah ke alam pengajian kelak.

Ahli Parlimen Lenggong itu menambah, pembayaran bulanan wajar dilakukan secara konsisten apatah lagi dengan tawaran dividen sebanyak empat peratus yang diisytiharkan pada tahun lepas bagi skim simpanan berkenaan.

 

ptpn 3