SANDAKAN – Bermula Januari tahun depan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mewajibkan majikan baharu menggunakan sistem e-Bayaran untuk pembayaran caruman pekerja mereka.

Pengurus Besar Jabatan Caruman KWSP, Azmi Awang berkata, langkah itu sejajar dengan hasrat KWSP menggalakkan majikan di negara ini menggunakan e-Bayaran.

“Biarpun ia belum mewajibkan, namun kita sedang menuju ke arah itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau merasmikan Program Taklimat e-Bayaran Caruman KWSP di sini hari ini yang dihadiri 64 orang majikan dan wakil mereka.

Beliau sebelum ini berkata KWSP menyasarkan 50 peratus daripada kira-kira 29,000 majikan di Sabah akan menggunakan e-Bayaran menjelang akhir tahun ini.

Azmi berkata, KWSP mendapat maklum balas positif daripada majikan yang menggunakan e-Bayaran sebelum ini. – Bernama