IPOH: Jawapan Jabatan Mufti Negeri Perak terhadap hukum pemilik pusat asuhan dan institusi pembelajaran mengambil bayaran penuh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya bersifat panduan umum.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam kenyataan berkata, pihaknya menafikan jawapan itu menjadi fatwa yang diwartakan.

Kenyataan itu berkata, ia hanya Irsyad Hukum (petunjuk hukum) sebagai panduan umum terhadap pertanyaan awam dan persoalan umum masyarakat terhadap isu semasa, sekali gus tidak membabitkan sebarang akta serta enakmen.

“Ia merungkai permasalahan berkaitan persoalan yuran atau upah terhadap tadika, pusat tuisyen dan sekolah seumpamanya.

“Beberapa aspek dan asas utama dalam muamalat perlu diteliti dan ditekankan sebelum petunjuk hukum dikeluarkan,” kata kenyataan itu.

30 Mac lalu, Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi jawapan kepada persoalan itu yang disiarkan melalui Facebook rasminya memaklumkan bayaran dikenakan terhadap pengguna perkhidmatan pusat berkenaan tertakluk kepada uruf (kelaziman), iaitu berdasarkan pekeliling dan pernyataan pada awal sesi asuhan atau pembelajaran bermula.

“Perkara itu perlu dirujuk kembali kepada sebarang akad yang dimaklumi sekiranya ada antara pengguna perkhidmatan iaitu pelajar, mahasiswa siswi atau penjaga dengan pihak sekolah atau institusi.

“Kontrak, iaitu akad juga (telah) berlaku dan tertakluk kepada arahan atau pekeliling kerajaan atau kementerian berkaitan berdasarkan kaedah fiqh, iaitu tindakan (pelaksanaan) pemerintah ke atas rakyat adalah mesti terikat dengan maslahah,” katanya.

Dalam penjelasan hari ini, Jabatan Mufti Negeri Perak berkata, antaranya kedua-dua pihak perlu saling reda-meredai, sekali gus menekankan kaedah perbincangan, taklimat, rundingan atau pemakluman awal dengan merujuk terma perjanjian.

“Ia juga perlu merujuk pematuhan undang-undang dan perjanjian yang turut menekankan aspek pematuhan kepada pihak berwajib (berkuasa).

“Unsur utama perlu diambil kira ialah aspek pemberian dan pembekalan perkhidmatan menerusi pemeteraian kontrak yang turut mengambil kira faktor mendatang (‘awaridh tari’ah’) serta hal mendatang yang tidak terduga (zuruf tari’ah),” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, berikutan PKP memberi kesan kepada kemampuan dan keberkesanan perkhidmatan, aspek yang perlu diberi perhatian adalah keredaan kedua-dua pihak, menghindari ketidakadilan dan perkara tidak jelas dalam muamalat,” kata kenyataan itu.

Jabatan Mufti Negeri Perak menasihatkan masyarakat terutama warganet agar melihat sesuatu hukum dikeluarkan dari sudut positif dan menghindari emosional dalam menilai sesuatu.

“Pengasuh atau pengusaha institusi pendidikan terbabit perlu mengambil langkah menang-menang dengan ibu bapa atau penjaga dan mengelakkan terlalu berkira-kira daripada pihak penjaga dan ibu bapa,” katanya.