BAGAN SERAI: Projek Lebuhraya Utara Selatan Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan sepenuhnya sistem kutipan tol elektronik di 71 plaza tol miliknya di antara Juru, Kedah sehingga ke Skudai, Johor bermula 26 April ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, mulai tarikh berkenaan semua tol kendalian PLUS akan dikendalikan sepenuhnya secara elektronik sama ada menerusi Kad PLUSMiles, Touch ‘N Go atau SmartTAG.

Menurut beliau, transaksi secara elektronik jauh lebih pantas dan selesa kerana lorong SmartTAG dan Touch ‘n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol satu jam, berbanding 180 traksaksi di lorong tunai.

“Pelaksanaan ini secara tidak langsung akan membantu orang ramai melalui plaza tol dan membayar tol dengan lebih mudah, pantas dan selesa,” katanya dalam satu sidang media khas di R&R Gunung Semanggol, Taiping pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Azman berkata, selain tol di Lebuhraya Utara-Selatan, sistem itu juga dilaksanakan di semua plaza tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterwoth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembang Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Linkedua.

Justeru itu, beliau menasihati orang ramai yang menggunakan kesemua laluan berkenaan mendapatkan kad elektronik masing-masing bagi memudahkan perjalanan mereka.

Beliau memberitahu, ketika ini terdapat kira-kira 8,900 lokasi tambah nilai elektronik di seluruh negara termasuk menerusi mesin-mesin ATM, kedai 24 jam, puast beli belah dan stesen minyak.

Di samping itu, ujarnya, kad PLUSMiles juga boleh diperolehi di semua pusat khidmat pelanggan di sepanjang lebuhraya PLUS yang beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun, tambah beliau, pelanggan yang tidak mahu membeli kad-kad berkenaan boleh juga menambah nilai dengan menggunakan Mykad mereka.

“Pada tarikh pelaksanaan itu juga, pihak PLUS akan menyediakan lorong tambah nilai yang akan beroperasi selama 24 jam bagi memudahkan pengguna,” ujar beliau.

Sementara itu beliau memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melakukan sebarang pembuangan pekerja ekoran perlaksanaan sistem berkenaan.

“Kita akan melatih semula pekerja-pekerja yang sebelum ini bertugas di plaza tol supaya dapat ditempatkan di bahagian-bahagian lain dalam PLUS, kita tidak akan membuang mereka,” katanya.

Sistem yang sama telah dilaksanakan di plaza tol kendalian PLUS di Bangunan Sultan Iskandar (2008), Lebuhraya Linkedua (secara berperingkat sejak 2009), Plaza Tol Kempas (2014), Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau (November 2014), Plaza Tol Mambau Hitam dan Jitra (September 2015), Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterwoth-Kulim (September 2015), Plaza tol di Jambatan Pulai Pinang (September 2015) serta Plaza Tol Sungai Dua hingga Hutan Kampung di Lebuhraya Utara-Selatan (November 2016).