KUALA LUMPUR: Kos untuk ujian komputer lesen memandu akan diturunkan kepada RM20 bermula 1 Januari tahun depan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Loke berkata, kos ketika ini adalah RM27 dan akan dikurangkan sebanyak RM7, berikutan keputusan meliberisasikan sistem sekarang yang dikendalikan tiga syarikat.

“Kita telah memutuskan untuk membuka ujian berkomputer kepada semua semua institut memandu dengan penggredan tiga bintang dan ke atas, yang menepati kriteria,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di sini, Selasa.

Pada masa ini, Loke berkata, 103 pusat pemeriksaan di bawah e-servis menerusi MyEG, KOMMS dan Myspeed, yang menawarkan ujian berkomputer.

Terdapat kira-kira 150 institusi memandu dengan penarafan tiga bintang dan ke atas, berdasarkan kaji selidik 2017.

Loke berkata, polisi baharu itu tidak akan menjejaskan 103 pusat di bawah MyEG, KOMMS dan Myspeed.

“Di bawah sistem baharu ini, kita menjangkakan kira-kira 200 pusat pemeriksaan di seluruh negara, yang akan menjadikan ujian memandu lebih mudah akses untuk orang awam,” tambahnya – mstar