AGRA: Seorang bayi terselamat daripada digilis kereta api selepas terjatuh di ruang antara kenderaan itu dan platform di sebuah stesen di Uttar Pradesh.

Insiden penuh dramatik itu yang dirakam menerusi telefon bimbit pada Khamis lalu menunjukkan kereta api meluncur di atas bayi perempuan berusia setahun itu sejurus selepas terjatuh ke landasan di stesen terbabit.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan hanya mampu melihat tetapi ada yang menjerit kerana bimbang dengan keselamatan bayi terbabit.

Bayi perempuan itu dilaporkan jatuh terlentang ketika kereta api yang dinaiki ibu bapanya hendak meninggalkan platform, sebelum memecut laju di atas kepala bayi itu.

Namun dia tidak sedikitpun mengalami kecederaan sehingga digelar sebagai bayi ajaib.

Sebaik sahaja kereta api terbabit meninggalkan stesen itu, seorang lelaki dengan pantasnya mengambil bayi terbabit yang sedang menangis.

Media tempatan melaporkan, ibu bapa bayi perempuan hilang cengkaman ke atas anak mereka apabila penumpang bertolak-tolakan untuk keluar dari kereta api ketika tiba di sebuah stesen di bandar Mathura. – channelnewsasia.com

mstar