BATU GAJAH: Seorang datuk berusia 47 tahun ditahan polis Khamis lalu kerana disyaki mendera cucunya berusia setahun selepas pegawai perubatan hospital menemui dua kesan cucuhan rokok di bahu kanan dan kiri perut bayi berkenaan.

Difahamkan, kesan cucuhan rokok itu dikesan ketika bayi lelaki itu dibawa untuk mengambil suntikan imunisasi di Hospital Batu Gajah oleh pengasuhnya.

Bayi itu dipercayai dihantar untuk dijaga pengasuh oleh suspek serta neneknya berikutan kedua-dua ibu bapa bayi berkenaan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata pegawai perubatan yang ingin memberikan suntikan imunisasi kepada mangsa terkejut apabila menemui dua kesan cucuhan rokok di bahu kanan dan bahagian perut kiri.

Katanya, pegawai perubatan itu kemudiannya bertanyakan kepada pengasuh mengenai kesan itu dan pengasuh memberitahu kesan itu dilakukan oleh datuk mangsa sebelum dihantar kepadanya.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan kemudiannya mendapati pengasuh berkenaan tidak terbabit dengan kesan cucuhan rokok itu dan pihaknya kemudiannya menahan suspek iaitu datuk mangsa untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati pada hari kejadian Rabu lalu, mangsa dijaga suspek di rumahnya di Jalan Tanjung Tualang kerana pengasuh perlu hadir untuk pendaftaran persekolahan anaknya dan pada hari itu juga suspek tidak bekerja.

“Ketika menanggalkan baju dan seluar mangsa kerana mangsa membuang air besar, suspek dipercayai sedang menghisap rokok dan rokok terkena pada bahu sebelah kanan mangsa sebelum jatuh terselit pada lampin pakai buang yang dipakai oleh mangsa,” katanya selepas Hari Bertemu Pelanggan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Ahmad Adnan berkata, suspek juga dipercayai tidak membawa mangsa ke klinik atau hospital untuk rawatan selepas terkena rokok berkenaan dan hanya meletakkan kicap pada kesan terbakar di badan mangsa.

Katanya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala ujian air kencing dijalankan mendapati suspek negatif dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan, manakala mangsa kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut,” katanya – berita harian