BUTTERWORTH: Laporan bedah siasat terhadap bayi perempuan berusia 47 hari yang maut dipercayai didera semalam, mendedahkan kematian berpunca daripada pendarahan dalam kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata laporan akhir yang diterima pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan seluruh anggota badan termasuk luaran dan dalaman.

“Selain kecederaan luaran seperti kesan lebam, calar dan gigitan, bayi berkenaan turut mengalami kecederaan dalaman akibat kepalanya dihentak hingga berlaku pendarahan otak.

“Ini dibuktikan hasil pemeriksaan yang mendapati terdapat banyak kesan pendarahan di bawah kulit kepala dan kesan patah pada kedua-dua belah tulang rusuk serta paha bayi perempuan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi semalam, Nurul Ain Umairah Muhamad Firdaus, maut dipercayai akibat didera keluarganya dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini untuk proses bedah siasat.

Bapa mangsa yang juga seorang pemandu lori, menyedari anaknya itu tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia di klinik berdekatan.

Terdahulu, ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 22 tahun, dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi tadi untuk proses tahanan reman.

Kedua-dua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 – berita harian