KUALA PILAH : Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui di perhentian bas berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Samad, di Tanjung Ipoh di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, bayi itu ditemui dalam sebuah beg plastik dibalut dengan kain pelekat.

“Kami menerima laporan mengenai penemuan bayi itu jam 10.20 pagi oleh seorang lelaki.

“Hasil pemeriksaan terhadap bayi itu, dia dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam dan berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.

Amran berkata, bayi itu telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

“Kita sedang mengesan ibu bapa bayi terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak dibawah 12 tahun,” katanya. -BH