Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan koma selepas dipatuk seekor ular tedung ketika sedang tidur di rumahnya di Bandar Baru Putra, Bercham dekat sini pada pagi Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 7 pagi itu, Muhammad Izz Fayyad yang tidur di dalam sebuah bilik, secara tiba-tiba meraung kesakitan dan jeritannya itu didengari oleh bapanya, Sumardi Chek Had.

Menurut Sumardi, beliau terus bergegas ke dalam bilik lalu mengangkat mangsa yang berada di atas katil, sebelum ternampak seekor ular tedung di bawah tilam.

“Pada masa itu, Izz menangis kesakitan dan saya ternampak ada bekas gigitan di tangan kirinya. Dalam sekelip mata, tangan anak saya membengkak.

“Saya segera memanggil isteri dan menghantar Izz ke hospital. Sehingga sekarang, Izz masih koma dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Selasa,

Tambah Sumardi, beliau telah menghubungi pihak berkuasa untuk menangkap reptilia berkenaan sebelum bergegas ke hospital untuk menghantar anaknya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kinta, Lt Rayner Saimon berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 7.30 pagi.

Katanya, apabila tiba di rumah berkenaan, pihaknya berjaya mengesan ular tedung tersebut yang masih berada di dalam rumah.

“Seramai lima anggota berjaya menangkap ular tedung itu dan kami membawanya ke hospital untuk diserahkan bagi rujukan penawar racun gigitan ular.

“Ini merupakan kes ketiga melibatkan ular jenis sama yang berlaku di kawasan berkenaan. Sebelum ini, kami pernah menangkap ular yang memasuki kawasan perumahan di Bandar Baru Putra,” katanya.

Dalam pada itu, Suara Perak cuba meninjau keadaan Muhammad Izz Fayyad yang kini masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Tinjauan mendapati kanak-kanak itu dipantau dengan ketat oleh pasukan perubatan hospital berkenaan.