New Delhi: Bayi lelaki yang dilahirkan dengan empat kaki dan dua kemaluan, kini seperti bayi biasa selepas pembedahan berjaya membuang organnya yang berlebihan itu.

Pembedahan rumit itu dilalukan di Narayana Health City oleh sepasukan 20 doktor, jururawat dan pakar, minggu lalu.

Bayi itu dilahirkan secara normal pada 21 Januari lalu, di sebuah pusat kesihatan pedalaman kerajaan di perkampungan Puladinni, Karnataka, selatan India.

Sebaik dilahirkan, anak kedua pasangan Lalitamma, 23, dan Chennabasava, 26, itu dipindahkan ke hospital berdekatan sebelum menempuh perjalanan sejauh lebih 300 kilometer ke Narayana Health City, sehari kemudian.

Perjalanan jauh itu menyebabkan bayi berkenaan kekurangan air dan memerlukan bantuan oksigen sebaik sampai ke hospital.

Menurut CNN, pada sidang akhbar semalam, pakar bedah pediatrik di Narayana Health City Dr Sanjay Rao yang mengetuai pasukan pembedahan itu berkata, bayi itu mengalami Polymelia iaitu masalah genetik yang antara lain menyebabkan embrio membesar menjadi kembar siam.

“Bagaimanapun, satu daripada bayi itu berhenti membesar meninggalkan organnya melekat pada bayi satu lagi” katanya.

Menurut Rao, kehadiran kembar yang berhenti membesar menyebabkan pembedahan bertambah sukar.

“Banyak kerja perlu dilakukan sebelum pembedahan seperti mengenal pasti anatomi, struktur yang dikongsi kembar itu dan saluran darah,” katanya.

Ia adalah kes keempat di hospital itu sejak sedekad lalu, termasuk bayi perempuan, Lakshmi Tatma, yang dilahirkan pada 2008 di Bihar dengan empat kaki dan empat tangan yang menarik perhatian puluhan ribu rakyat India datang melawat kerana percaya ia jelmaan dewi kekayaan, Laxmi.