SEORANG budak lelaki yang dilahirkan dengan masalah pada otak berdepan satu lagi masalah selepas melakukan pembedahan.

Ini kerana, selepas pembedahan dilakukan bentuk kepalanya kelihatan seperti ‘tanduk syaitan’.

Clyne Solano, 22 bulan, dilahirkan dengan keadaan ‘hydranencephaly’, iaitu satu keadaan yang mana terdapat satu otak kecil dan cecair di dalam kepalanya.

Solanao, dari Filipina, telah menjalani pembedahan pertamanya pada Mac lalu untuk melegakan tekanan pada otaknya.

Tetapi tengkorak kepalanya tidak sempurna, menyebabkan bentuk kepalanya berlekuk dan dikatakan menyerupai tanduk syaitan.

Solano kini memerlukan pembedahan rekonstruktif untuk memulihkan bentuk tengkoraknya, tetapi ibunya bimbang dengan keadaannya yang terlalu lemah untuk menjalani pembedahan lain.

“Saya tak mahu meneruskannya buat masa ini kerana saya takut bayi saya belum cukup kuat,” kata ibunya, Justine Gatarin, yang merupakan seorang ibu tunggal.

“Sebab itulah saya susah nak buat keputusan. Jika tidak melakukannya, kepalanya akan kelihatan seperti itu sepanjang hayat.

“Ada yang kata kepalanya macam tanduk syaitan, tapi tidak bagi kami. Hati saya hancur luluh melihat dia menderita.”

Solano sedang dirawat di Pusat Perubatan Kanak-Kanak di Pasig, Filipina, sebuah bandar di Manila, yang menempatkan 12.9 juta penduduk.

Dia diberi makan melalui tiub dan satu lagi tiub dimasukkan ke dalam saluran pernafasannya.

Hydranencephaly adalah satu keadaan yang sangat jarang berlaku, bermula sebelum kelahiran dan menghalang otak bayi berkembang sepenuhnya, dalam masa yang sama juga membuatkan kepala mereka membesar.

Solano perlu dibedah untuk mengalirkan bendalir dari kepalanya bagi melegakan tekanan pada otaknya.

Ini menyebabkan benjolan dan lekukan terbentuk di kepalanya menyerupai tanduk.

Sejak dibedah bentuk itu menjadi lebih ketara kerana tulangnya terus berkembang.

Gatarin, 21, berkata: “Anak saya sudah menjalani pembedahan untuk hydronencephalynya. Ini menjadikan kepalanya berlekuk di tengah.

“Untuk membetulkannya, dia memerlukan pembedahan rekonstruktif.

“Kami menjual hampir semua yang kami ada untuk mendapatkan wang yang cukup untuk pembedahan itu. Tetapi selepas pembedahan kami masih perlu kembali ke hospital dengan kerap.

“Tiub di leher yang membolehkannya bernafas perlu diganti setiap enam bulan. Saya sedih melihat bayi saya menderita seperti ini.

“Kalaulah saya boleh menggantikan tempatnya, saya akan melakukannya sekarang. Kami akan terus berjuang untuk Clyne.

“Jika dia tidak kuat, kami akan sentiasa berada di sampingnya.

“Kami dengar cerita tentang bayi hydranencephaly yang dapat hidup sehingga remaja. Clyne kuat, saya tahu dia boleh bertahan.”

Bagi kanak-kanak yang mempunyai hydranencephaly, banyak ruang dalam tengkorak mereka yang membesar dipenuhi dengan bendalir, dan otak yang tidak berkembang boleh menyebabkan kecacatan, masalah intelektual, kejang dan masalah penglihatan.

Keadaan ini tidak boleh diubati dan rawatannya melibatkan penggunaan tiub untuk mengalirkan cecair keluar dari tengkorak.

Tidak jelas berapa ramai kanak-kanak yang menderita akibat hydranencephaly tetapi jarang sekali mereka bertahan hingga ke dewasa. Ramai yang mati dalam rahim atau beberapa bulan selepas kelahiran.

Walaupun keadaannya nampak teruk, pasukan perubatan di Pasig meramalkan masa depannya baik seperti yang diharapkan.

Pembedahannya yang terbaru dibuat pada 6 November untuk menukar tiub dalam saluran udara yang membolehkannya bernafas.

Dia diberi makan dengan susu dan suplemen dituang melalui tiub kedua melalui hidung, terus masuk ke dalam perutnya. -MailOnline