IPOH: Bayi lelaki yang ditemui di belakang sebuah kediaman di Taman Perpaduan, di sini yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB) kini dilaporkan dalam stabil.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata bayi seberat 3.0 kg yang kini diletakkan dalam penjagaan Unit Pediatrik itu masih belum diketahui identitinya sejak dimasukkan ke dalam wad berkenaan pada Ahad lepas.

“Keadaan bayi stabil, namun ini sedang menjalani rawatan fototerapi kerana mengalami sedikit penyakit kuning dan kini bayi tersebut sedang menerima antibiotik daripada pihak hospital.

“Pihak hospital juga telah memberikan susu kepada bayi tersebut dan tiada sebarang masalah setakat ini,”katanya kepada Suara Perak.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Rosmahwati Ishak berkata pihaknya sedang menunggu keputusan daripada mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan bayi lelaki tersebut buat sementara waktu.

Terdahulu, seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di belakang rumah di Taman Perpaduan, di sini pada tengah malam Sabtu oleh sepasang suami isteri sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan lanjut.