SERI MANJUNG – Seorang bayi lelaki berusia tiga tahun yang disyaki didera pengasuh sehingga patah tangan kanan kini stabil.

Mangsa, Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain kini dirawat di Hospital Seri Manjung selepas keluarganya menghantar ke hospital sejurus mendapati lengan bayi tersebut membengkak selepas mengambilnya dari jagaan pengasuhnya di Seksyen Dua, Seri Iskandar, Rabu lalu.

Ibu bayi tersebut yang mahu dikenali sebagai Akma, 28, berkata, dia masih sedih dengan kejadian itu kerana melihat keadaan anaknya yang menangis tidak henti ketika diambil dari rumah pengasuh.

“Buat masa ini saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam siasatan pihak polis.

“Cuma jika betul ada unsur penderaan, saya harap ada pembelaan yang sewajarnya untuk bayi kami,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan sini, hari ini.

Mengimbas kembali pada hari kejadian, Akma berkata, bayinya dihantar ke rumah pengasuh kira-kira jam 9 pagi bersama bapa mentuanya sebelum ke tempat kerja.

 

Menurutnya, lebih kurang jam 10.45 pagi dia pergi mengambil Muhammad Zaheen Affan selepas pengasuh tersebut menghubungi suami memberitahu anak sulungnya itu tidak henti menangis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sehingga kini pihak polis masih menunggu laporan penuh perubatan bayi berkenaan.

Katanya, pengasuh yang berusia 46 tahun itu sudah pun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera – sinar