TANJUNG MALIM – Seorang bayi perempuan berusia setahun cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 391, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.44 pagi itu, mangsa, Nur Aisya Humaira Nur Effendi menaiki kereta Proton Saga BLM bersama-sama Nur Effendi Omar, 37, Lemmy Eryanny Ismail, 32, dan Muhammad Mikhail Hadif Mohd Ezman Nor, 9, yang turut cedera dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, nahas dipercayai berlaku ketika kereta Proton Saga BLM dinaiki mangsa dan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

Katanya, pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun berada di lorong paling kanan sebelum kereta Proton Saga BLM dinaiki mangsa dipercayai masuk ke laluan kanan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu pacuan empat roda tersebut tidak sempat brek lalu melanggar bahagian kanan kereta Proton Saga BLM itu.

“Akibat perlanggaran itu, kereta Proton Saga BLM berpusing sebelum berhenti di dalam longkang,” katanya.

Katanya, dua mangsa terperangkap dan pasukan Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim membantu mengeluarkan kesemua mangsa.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan manakala pemandu pacuan empat roda selamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Tiada tangkap dilakukan dan pihak kami melakukan siasatan di bawah Kaedah 10 LN166/59,” katanya.

-SinarHarian