Oleh:Nazialita Geynna Maharan
 
TAIPING: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan sempurna ditemui di atas bangku di Poliklinik Hospital Taiping, di sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian sekitar 9.30 malam itu, bayi perempuan tersebut ditemui oleh seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun yang bertugas di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pengawal tersebut kemudiannya membuat laporan polis berkenaan penemuan bayi cukup sifat itu.
“Menurut laporan, bayi tersebut ditemui dalam sebuah beg berwarna biru muda yang berisi lampin pakai buang Mamy Poko, satu set pakaian bayi dan tuala di atas kerusi di lobi Poliklinik Hospital Taiping.
“Ketika ditemui, bayi berkenaan masih hidup, mempunyai tali pusat yang masih merah dan sudah dipotong tetapi belum diikat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Harrith berkata, buat masa ini bayi berkenaan telah diserahkan kepada hospital untuk penjagaan.
Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis meminta orang awam atau sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan ibu atau keluarga kepada bayi berkenaan untuk berhubung dengan pegawai penyiasat atau polis di IPD Taiping,” katanya lagi.