NEW DELHI – Penduduk kampung di timur India menyelamatkan seorang bayi perempuan baru lahir yang ditanam hidup-hidup, kata beberapa pegawai semalam berhubung kes baharu pembunuhan bayi perempuan di negara itu.

Bayi perempuan itu yang dipercayai berumur tidak lebih enam jam, ditinggalkan untuk mati di dalam parit berpasir di sebuah padang apabila seorang pejalan kaki melihat kedua-dua kakinya terjulur keluar pada Sabtu lepas.

Mangsa yang ditemui di daerah Jaipur, negeri Odisha kemudian dibawa ke hospital untuk dirawat.

“Bayi ini berada dalam keadaan sihat. “Dia cukup sifat dan memiliki berat sekitar 2.5 kilogram,” kata ketua pegawai perubatan Jaipur, Fanindra Kumar Panigrahi.

Kakitangan hospital berkenaan menamakan bayi itu Dharitri yang bermaksud tanah dalam bahasa Sanskrit.

Bayi perempuan itu akan diserahkan kepada rumah kebajikan milik kerajaan negeri apabila keluar dari hospital.

Terdahulu, polis memberitahu agensi berita AFP bahawa pihaknya mengesyaki bayi baru lahir itu ditinggalkan oleh ibu bapanya sama ada kerana faktor jantina atau kerana ibunya tidak berkahwin.

“Kami cuba mengesan ibu bapa bayi ini. Ini mungkin kes pembunuhan bayi pe­rempuan kerana jelas suspek cuba membunuhnya,” kata pegawai polis tempatan, Jyoti Prakash Panda. – AFP