Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang bayi perempuan berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam baldi di sebuah tandas di Meru pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar 8.30 pagi itu, Fatini Aleysha Abdul Karim disahkan meninggal dunia sekitar 10 malam di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata berikutan itu seorang lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berusia 31 dan 41 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati bayi tersebut telah membuang air besar di mana suspek lelaki telah membawanya ke pejabatnya sementara suspek wanita iaitu ibu mangsa menunggu di dalam kenderaan.

“Kemudian, suspek lelaki telah turun dalam keadaan cemas dan memberitahu wanita tersebut bahawa mangsa terjatuh dalam baldi dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan penyelia sewa kereta berkenaan telah membawa bayi tersebut ke HRPB sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat sekitar 10.30 pagi mendapati punca kematian adalah “drowning” atau mati lemas, dan siasatan awal mendapati kecuaian sehingga mangsa terjatuh ke dalam baldi dan menyebabkan mati lemas.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan kedua-dua suspek telah ditahan bagi siasatan lanjut,” ujarnya lagi.