HULU SELANGOR: Seorang remaja perempuan ditahan kerana membuat laporan palsu kononnya menemui mayat bayi lelaki di kediamannya di Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Remaja berusia 18 tahun itu mendakwa menemui bayi lelaki di belakang rumahnya jam 9 pagi semalam sebelum membuat laporan polis.

Bagaimanapun, siasatan polis mengesahkan bayi itu adalah anak kandung wanita terbabit dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata suspek membuat laporan palsu kononnya menemui mayat bayi lelaki ditinggalkan di atas bangku belakang rumahnya.

“Suspek mendakwa membawa pulang mayat bayi terbabit dan membersihkannya sebelum diletakkan semula di tempat asal.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapti ada kesan darah di rumah suspek dan suspek mengaku membuat laporan palsu.

“Suspek mengaku melahirkan bayi itu jam 12.05 tengah malam semalam seorang diri di tandas rumahnya,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Beliau berkata, suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk diberi rawatan dan akan ditahan sebaik keluar wad.

Katanya, pihak polis dalam usaha mengesan teman lelaki suspek untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan – berita harian