Tiga Sekeluarga Maut

SITIAWAN: Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terjunam dalam parit di Jalan Kayan di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 pagi, sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah kereta jenis Toyota Wish telah terbabas ke dalam parit yang berair sedalam 2.5 meter dalamnya.

“Terdapat tiga orang mangsa didalamnya seorang lelaki dewasa berusia 40-an, wanita berusia 30-an dan seorang bayi berusia lingkungan tujuh bulan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah beliau, pihaknya telah mengambil masa sekitar lapan minit untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan.

“Bomba mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan mangsa dan pasukan perubatan mengesahkan ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia.

“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 6.10 pagi,” ujar beliau.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan.