SETIAP kali Ramadan menjengah, pasti ada satu perasaan unik yang sukar digambarkan berbanding bulan sebelumnya, di samping kemeriahan berpuasa dan solat sunat Terawih, kewujudan bazar Ramadan juga mewarnai suasana.

Namakan saja apa jenis makanan yang anda idamkan, baik tradisional ataupun barat, semuanya sedia dijual dengan ratusan deretan peniaga di bazar Ramadan, sehingga anda jadi rambang mata memilihnya.

Tidak dinafikan keseluruhan bazar Ramadan di Perak ada sisi menarik dan keistimewaan makanan tersendiri, namun terdapat beberapa tempat di Kuala Kangsar yang menjual hidangan dengan nama unik, setahun sekali.

Makanan Setahun Sekali

Tinjauan ke bazar Arena Square Kuala Kangsar dan Sayong mendapati banyak makanan tradisi yang agak pelik didengar bagi orang luar seperti kuih jongkong, apam pasang, torok, penjan ubi,nasi ulam serta kanto.

Sebahagian dari menu ini hanya dibuat dan diniagakan pada bulan Ramadan, bak kata orang rugi jika anda tidak merasai keunikan makanan yang wujud setahun sekali.

Badariah Meor Kasah yang mengusahakan perniagaan di bazar Ramadan sejak 20 tahun lalu menjual aneka kuih termasuk kuih jongkong dan torok.

“Saya pun tak pasti kenapa ia dipanggil jongkong, mungkin cara balutan sama macam jongkong, orang dulu-dulu yang bagi nama macam itu.

“Rasa jongkong seakan kuih limas kerana dimasak dengan tepung beras, masukkan dalam daun lalu tuang santan, harga setiap satu 50 sen,” kata Badariah.

Dalam pada itu torok pula berbentuk seperti pulut panggang tetapi diikat di bahagian tengah, atas dan bawah, ujar Badariah rasanya seakan bengkang.

“Torok dibuat dengan tepung beras masak bersama santan, campur gula kemudian masukkan dalam daun pisang lalu kukus. Tekstur torok lebih lembut daripada bengkang,” katanya.

Apam Pasang Curi Tumpuan

Apam pasang yang dijual di gerai Hamidah Ismail atau dikenali dengan Makcik Ani turut mendapat perhatian, sememangnya apam pasang sinonim dengan penduduk di Kuala Kangsar.

“Orang sini ada yang panggil apam Diraja, ia diperbuat dari campuran tepung beras dan ragi, dikukus kemudian dicantum dua.

“Rasanya masam manis dan sesuai dimakan dengan kelapa parut, tapi ramai yang suka cicah bersama kuah kari dan sambal,” ujar Hamidah yang sudah 36 tahun berniaga kuih muih.

Manisan Unik Juadah Berbuka

Mungkin ramai di antara kita yang gemarkan minuman manis ketika berbuka puasa, antara lainnya untuk menyegarkan tekak dan memberi tenaga.

Terdapat salah satu gerai di bazar Ramadan Sayong yang menjual buah kanto hanya di bulan Ramadan, disebabkan bergantung kepada musim dan kesukaran mendapatkan bekalan.

“Jarang ada penjan ubi selain Ramadan disebabkan bergantung pada ubi kayu, bekalan kanto atau kabung saya dapatkan dari kawan, dia buat tiap-tiap tahun.

“Ada dua jenis iaitu tawar dan manis iaitu putih dan merah, rasanya macam laici dan kenyal macam nata de coco, harganya RM 5 sebungkus. Hanya masukkan ais dan sedia diminum,”katanya.

Sesungguhnya kedatangan bulan Ramadan memberi rahmat dan rezeki kepada mereka yang ingin menjana pendapatan sampingan, tempiasnya juga kepada orang ramai yang boleh menikmati pelbagai juadah.

Bagaimanapun kita juga perlu mendidik kesabaran supaya tidak berbelebihan dan membazir dalam berbelanja di bazar Ramadan, di mana akhirnya makanan yang dibeli terbuang begitu sahaja.