IPOH : Kerajaan negeri Perak akan berbincang terlebih dahulu dengan pemegang taruh (stakeholder) sebelum membuat keputusan mengenai bazar Ramadan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan bahagian kerajaan tempatan mengenai perkara tersebut.

“Saya mengadakan perbincangan dengan pelbagai ‘stakeholders’ dan juga bahagian kerajaan tempatan dan kita akan umumkan kaedah paling sesuai untuk kita jalankan perniagaan di waktu bulan Ramadan nanti,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan lebih RM3 juta sumbangan daripada beberapa pihak, di pejabatnya di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata keputusan mengenai kaedah bazar Ramadan itu akan diumumkan kemudian.

Hingga ke hari ini, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Kedah, telah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri.

Manakala Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar juga sudah menegaskan, bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di negeri itu disebabkan risiko berlaku kontak rapat yang amat besar.