TAIPING: Sekumpulan anak muda Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) memohon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi campur tangan untuk membanteras segera kegiatan di premis-premis perjudian haram di daerah itu yang kini semakin meruncing.

Diketuai oleh Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), mereka turut mempertikai peranan pihak berkuasa yang seolah-olah memandang sepi kewujudan  pusat-pusat perjudian terbabit yang didakwa menjadi gejala sosial di daerah itu.

IMG-20170523-WA0000
Wakil Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohd Adri Adha Mohamad mendakwa sebelum ini terdapat 20 premis perjudian di daerah itu yang telah ditutup namun sebahagian daripadanya kembali aktif menjalankan aktiviti perjudian sejak akhir-akhir ini.

Katanya, apa yang membimbangkan kewujudan premis-premis perjudian ini telah mengundang pelbagai masalah sosial dalam masyarakat Melayu antaranya keruntuhan rumah tangga dan kerosakan akhlak anak-anak muda di daerah ini.

“Lebih mendukacitakan, tinjauan kami di premis-premis perjudian itu mendapati 95 peratus pengunjungnya adalah anak muda Melayu berumur 16 tahun ke atas.

“Kami mendesak PBT, Polis dan agensi yang berkaitan bertindak segera menangani masalah ini bagi memastikan daerah Larut Matang dan Selama bebas daripada gejala judi,’’ katanya kepada pemberita di Kompleks Rakan Muda Kamunting pada malam Isnin.

Pengerusi Pertubuhan Belia Warisan Melayu, Mohammad Sollehin  Mohamad Tajie pula mempersoalkan bagaimana kegiatan perjudian haram itu berleluasa tanpa penguatkuasaan PBT dan polis.

“Kami menagih janji yang dibuat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  baru-baru ini bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan tindakan ‘pembersihan’ secara menyeluruh terhadap anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan di bawahnya yang terlibat dengan jenayah,” katanya.

Wakil Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Zulfahmi  Saibi pula berkata, beliau amat bimbang kerana aktiviti perjudian ini semakin berkembang menjelang Ramadan.

Beliau berkata, sekiranya tidak dibendung kegiatan tidak bermoral ini boleh melalaikan anak-anak muda daripada mengimarahkan bulan yang mulia ini.

“Kami bimbang jika premis perjudian ini tidak ditutup maka semakin ramai anak akhlak muda akan rosak sehingga lalai daripada menjalankan ibadat di bulan yang mulia ini,’’ katanya.