KLANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, mendapat perintah reman terhadap tiga pegawai Penguat Kuasa Agama Islam Daerah (PAID) di Selangor berkaitan kes rasuah berjumlah RM600.

Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan membenarkan dua suspek direman selama dua hari dan seorang lagi suspek direman empat hari sehingga 13 Januari ini.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi, dengan memakai baju lokap jingga SPRM dan tangan bergari.

Sumber berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia 32 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 6 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai meminta dan menerima suapan sebanyak RM600 daripada orang awam sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan bagi kesalahan kes khalwat di daerah berkenaan.

“Seorang daripada tiga suspek ditahan selama empat hari kerana dia yang dipercayai menerima wang suapan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya – berita harian