Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Hujan lebat di sekitar Perak sejak pagi Rabu telah menjejaskan beberapa buah kediaman khususnya di sekitar daerah Bagan Datuk.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pusat pemindahan mangsa banjir yang dibuka berikutan keadaan masih lagi terkawal dan selamat.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Negeri berkata, beberapa keluarga masih berada di rumah masing-masing walaupun kejadian air pasang besar masih lagi menjejaskan beberapa mukim di Bagan Datuk.

Menurut jurucakap itu, pihaknya kini sedang melaksanakan pemantauan di kesemua empat mukim yang terlibat di beberapa kawasan berpotensi.

banjirbagandato 2

“Sehingga pukul 6 petang Rabu, keadaan masih lagi terkawal untuk keempat-empat mukim seperti Mukim Teluk Bharu, Mukim Hutan Melintang, Rungkup dan Bagan Datuk.

“Ianya melibatkan sebanyak 17 buah kampung secara keseluruhan dan keadaan masih lagi terkawal dan baik buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada malam Rabu.

Jelas beliau, bacaan paras air laut tertinggi kini direkodkan mencapai takat 3.2 meter namun didapati ianya mulai surut sehingga kini.

Tambahnya, paras kenaikan air merekodkan sebanyak satu hingga tiga kaki namun tiada pusat pemindahan yang dibuka baik di Bagan Datuk atau kesemua daerah di seluruh negeri.

“Hujan masih turun di beberapa lokasi justeru pihak kami akan melaksanakan pemantauan berkala bersama dengan bantuan beberapa agensi lain,” ujarnya.

Katanya lagi, pemantauan terakhir mendapati terdapat sebuah ban yang pecah hampir 30 meter di Kg Pisang Batak Rabit di daerah Hilir Perak dan tindakan segera akan dilaksanakan bagi menangani masalah berkenaan.

“Pegawai Daerah Hilir Perak telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini dan begitu juga dengan Jabatan Pengaliran dan Saliran bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Jurucakap sekretariat pengurusan juga melaporkan, buat masa ini, kesemua sungai utama di sekitar negeri berada di paras normal.