IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil tiga pegawai pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) ekoran laporan yang diterima oleh agensi berkenaan.

Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka dipanggil minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui, terdapat di kalangan pegawai yang dipanggil itu masih berada di dalam kepimpinan PAFA sekarang.

“Ya, saya mendapat maklum ada di kalangan pegawai PAFA yang telah dipanggil untuk siasatan SPRM, tetapi ia bukan berkaitan dengan di bawah pengurusan yang terbaru, ia kes pengurusan lama.

“Setakat ini belum ada apa-apa lagi daripada pihak SPRM untuk pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat negeri Perak 2018 di Padang Tanjung Rambutan, dekat sini, hari ini.

Hasnul bagaimanapun enggan mendedahkan nama tiga pegawai yang dipanggil itu tetapi menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM.

Bagaimanapun, katanya, sebagai kepimpinan baharu, beliau akan memberi kerjasama kepada agensi pencegahan rasuah itu untuk menjalankan siasatan.

“Sebagai kepimpinan baru pertubuhan yang saya sendiri terajui, kami membuka pintu seluas-luasnya kepada pihak SPRM untuk membuat siasatan. Kita menunjukkan keterbukaan kita, kita sedia bekerjasama, sesiapa yang terlibat harus didakwa,” tegasnya.

Beliau menambah, pihaknya tidak akan melindungi walaupun ada yang dipanggil untuk siasatan itu adalah sebahagian daripada pegawai PAFA yang ada sekarang ini.

“Saya dah beritahu, bagi kerjasama yang sepenuhnya, jika ada pendakwaan, kita harus menghadapinya lah,” ujarnya.

Mengenai laporan sebelum ini mengenai minat Perak untuk mendapatkan khidmat bekas pemain terbaik dunia, Ronaldinho, Hasnul berkata, walaupun ada orang menyifatkannya sebagai lawak, beliau serius mengenainya.

“Saya serius untuk membawa Ronaldihno ke Perak ini kerana ketika beliau hadir ke Malaysia untuk kempen mengenai Piala Dunia, dia pernah beritahu kepada wartawan ketika itu yang dia bersedia bermain untuk di Malaysia ini tanpa mengenakan apa-apa bayaran.

Menurut beliau, walaupun difahamkan bekas pemain Brazil itu tidak bermain hampir lapan bulan, tetapi pengalaman dan reputasinya sebagai bekas pemain terbaik dunia mampu untuk memeriahkan bola sepak di Malaysia.

“Saya kira kalau dia setuju pun, dia tidak akan bermain sepenuh musim dan saya rasa tiada kekangan kewangan kerana beliau berhasrat bermain secara percuma, cuma kita akan sediakan beberapa fasiliti untuk kemahuan dia,” tambahnya.