IPOH: Beberapa pimpinan UMNO peringkat bahagian di negeri ini turut menyertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hari ini.

Antara mereka termasuklah Timbalan Ketua Umno Bahagian, Naib Ketua Umno Bahagian, Ketua Penerangan Umno Bahagian dan beberapa lagi pimpinan sayap.

Salah seorang daripadanya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Kamarul Rashdan Salleh berkata, beliau mengambil tindakan itu sebagai menghormati kehendak rakyat yang memberikan kepercayaan kepada PPBM menerajui negara.

Pada masa sama, beliau melihat parti itu menawarkan makna dan nilai perjuangan yang berbeza dengan UMNO.

“Nilai perjuangan PPBM lebih bersifat kemalaysiaan yang mengutamakan kestabilan antara kaum.

“Selain itu, saya melibat Menteri Besar (Ahmad Faizal Azumu) yang ada sekarang, merupakan pemimpin muda berkaliber dan perlu diberikan sokongan,” ujarnya.

Menurut Kamarul Rashdan, beliau terpanggil untuk menyertai PPBM kerana mahu bekerjasama dalam usaha mencapai visi dan misi untuk rakyat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Nadziruddin Mohd Bandi berkata, penyertaan mereka ke dalam PPBM tidak dipaksa sesiapa mahupun ditawar sesuatu, sebaliknya dilakukan dengan rela.

“Kita mahukan parti yang boleh membawa rakyat ke satu tahap yang lebih baik dan boleh menerima perubahan.

“Saya melihat PPBM merupakan pilihan yang tepat untuk membantu rakyat dan parti yang boleh membawa masa depan lebih baik,” katanya.