IPOH: Pengurusan baharu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) mendapati terdapat beberapa perjanjian di bawah pengurusan terdahulu, bukan sahaja berat sebelah, malah merugikan perbadanan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, salah satu perjanjian yang sangat meragukan ialah perjanjian pajakan 60 tahun tanah PPPNP seluas kira-kira 520 hektar (1,300 ekar) di Kuala Kangsar dengan sebuah entiti.

Menurut beliau, apa yang meneranjatkan perbadanan kemudiannya menandatangani perjanjian pengurusan ladang kelapa sawit tersebut dengan modal yang dikeluarkan oleh PPPNP.

“Apa yang lebih memeranjatkan, berdasarkan perjanjian itu, keuntungan daripada operasi ladang itu dibahagikan 50:50 di antara perbadanan dengan entiti terbabit.

“Tidak cukup dengan itu, PPPNP tertakluk kepada syarat, perlu membayar perkongsian keuntungan seawal dari tahun pertama sehingga tahun kelima sebanyak RM300,000 setahun, walaupun projek belum bermula,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP di sini, pada Jumaat.

Ahmad Faizal memberi satu lagi contoh urusniaga yang merugikan perbadanan itu ialah penganugerahan surat kuasa wakil (power of attorney) oleh pengurusan terdahulu kepada sebuah entiti berlainan yang memberi kuasa kepada entiti berkenaan untuk mencagarkan tanah-tanah yang terlibat di dalam projek tanaman pertanian.

“Ini adalah sama sekali bertentangan dengan amalan tadbir urus baik yang menjadi amalan perbadanan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan baharu supaya menyemak semula perjanjian-perjanjian tersebut untuk mengkaji sama ada wajar diteruskan atau sebaliknya.

Selain itu, tambahnya, perkara tersebut juga akan disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal memberitahu, Lembaga Pengarah PPPNP juga telah meneliti prestasi kewangan perbadanan itu.

Katanya, hasil penelitian itu, pihaknya mendapati margin keuntungan perbadanan berkurangan dari 23 peratus pada 2012, merosot kepada hanya lima peratus tahun lalu.

Ujarnya, semakan juga mendapati hutang jangka panjang perbadanan telah meningkat daripada RM3 juta pada 2012 kepada RM100 juta tahun lalu, atau lonjakan hutang sebanyak 93 peratus dalam tempoh lima tahun.

Di samping itu, kata Menteri Besar, rizab tunai PPPNP juga merosot dari RM230 juta pada 2012 kepada RM105 juta tahun lalu.

Menurut beliau, berdasarkan kepada mesyurat itu juga, PPPNP akan memberi fokus kepada enam strategi utama.

Enam strategi itu ialah fokus kepada sektor perladangan; membangunkan ladang secara perkongsian bijak; membangunkan usahawan agro dan aqua; membangunkan ladang rakyat dan ladang untuk rakyat; penstrukturan semula perniagaan anak syarikat dan syarikat usahasama serta penstrukturan semula organisasi.

Beliau mengumumkan, mesyuarat turut meluluskan pembukaan skim baru Ladang Untuk Rakyat yang berkonsepkan perkongsian antara peserta dan PPPNP.

“Kita akan bermula dengan 400 peserta dengan perkongsian keuntungan 60:40 dan pembukaan skim ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat,” katanya sambil memberitahu, skim itu juga akan dibuka untuk badan-badan beruniform.

Ahmad Faizal turut mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Kewangan PPPNP, Yahanis Yahaya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan yang baharu, berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Yahanis yang berkhidmat pada 2011 hingga 2013, merupakan anak jati Perak dan
pernah berkhidmat di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak.

Terdahulu, Menteri Besar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara perbadanan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak.

Beliau turut menerima sumbangan PPPNP kepada kerajaan negeri sebanyak RM2.5 juta di samping interim dividen 2018 sebanyak RM1 juta daripada syarikat usahasama penternakan udang kepada PPPNP.