IPOH: Beberapa buah syarikat penerbangan telah menyatakan minat untuk membuka operasi syarikat mereka di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, salah sebuah syarikat itu merancang untuk membuka laluan Ipoh – Johor Bharu dan kerajaan negeri amat mengalu-alukannya kerana ia baik untuk negeri.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada syarikat yang dimaksudkannya itu ialah syarikat tambang murah AirAsia.

“Mungkin…kita sedang berbincang, saya tidak boleh umumkan selagi ia belum menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Air Perak (LAP) di Casuarina @ Meru di sini, hari ini.

Mengenai penggunaan tagline Perak Amanjaya, YAB Ahmad Faizal berkata, ia tidak lagi digunakan, termasuk di dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

“Perak yang aman, Perak yang berjaya, tidak boleh hendak kita hapuskan tetapi saya fikir, di dalam acara-acara rasmi kerajaan dan sebagainya, ucapan yang dilaung-laungkan sebelum ini, salam 1 Malaysia, salam Perak Amanjaya tu, tak payahlah sebut.

“Saya fikir zaman Tunku Abdul Rahman, zaman Tun Razak dulu, assalamualaikum, salam sejahtera, dah boleh jalan terus, elok saja negara kita, tak ada masalah,” ujarnya.

Mengenai produk-produk kerajaan negeri seperti Kedai Bergerak Amanjaya dan sebagainya, beliau berkata, scukuplah sekadar penggunaan Perak sahaja.

“Saya fikir, Perak sahaja, negeri kita namanya Perak Darul Ridzuan. Jadi, saya haraplah kalau bukan saya, kalau orang lain pun jadi Menteri Besar, tak payahlah tukar-tukar nama negeri kita ni,” tambahnya.

Mengenai tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN), YAB Ahmad Faizal berpendapat, bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang itu telah membuat keputusan yang tepat.

“Mungkin dia boleh ajak lebih ramai tinggalkan sebuah parti yang tidak lagi relevan, parti yang mengamalkan budaya yang merosakkan, saya fikir eloklah,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa sebarang pemohonan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah tertakluk kepada keputusan dan persetujuan pimpinan tertinggi parti itu.