Beberapa ahli wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) di Perak telah memberi indikasi awal untuk tidak mempertahankan kerusi mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan wakil-wakil rakyat itu bertujuan untuk memberi peluang kepada muka-muka baharu khususnya golongan muda daripada BN untuk menerajui negeri itu sebagai wakil rakyat.

“Ada yang telah pun menyuarakan kepada saya (hasrat untuk tidak bertanding pada PRU depan), ini lah tradisi UMNO, BN kita tidak bergaduh.

“Sesetengah daripada mereka itu memberitahu berbuat demikian untuk memberi jalan dan peluang kepada generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Himpunan Pemimpin Muda Negeri Perak dan Pemuda UMNO Perak di Ipoh pada Ahad.

 

himpunan pemimpin muda negeri perak 2

Beliau turut memberitahu, BN Perak akan melaksanakan proses peremajaan parti pada PRU-14 dengan menampilkan calon-calon berkaliber daripada golongan muda termasuk wanita.

“Kita amat positif menghadapi PRU depan dan segala persiapan telah pun kita mulakan lebih awal.

“BN perlu yakin secara keseluruhannya kerana kita tidak boleh melangkah ke dalam medan perang tanpa rasa yakin dengan parti sendiri,” ujar beliau.

 

himpunan pemimpin muda negeri perak