SHAH ALAM: Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, berpendapat bedah siasat terhadap mayat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, tidak dilakukan secara menyeluruh.

Berikutan itu, saksi ke-29 itu tidak bersetuju dengan laporan dikeluarkan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menyatakan tiada kecederaan lebam di bahagian belakang Muhammad Adib.

Katanya, bedah siasat bukan hanya membabitkan proses memotong bahagian badan tetapi ia perlu menyeluruh bagi mengetahui punca kematian seseorang.

“Mereka mengatakan melakukan bedah siasat tetapi sebenarnya tidak. Mereka tidak melakukan pemeriksaan antaranya di bawah bahagian lapisan kulit yang mana sekiranya dilakukan akan menemukan kesan lebam.

“Ini yang mereka katakan tidak ada (lebam). Bagaimana hendak ada (jumpa) kalau tidak diperiksa,” katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada hari ke-39 prosiding inkues, di sini, hari ini.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz itu turut memberitahu mahkamah, siasatan awal di tempat kejadian berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 itu harus dilakukan pegawai penyiasat dan forensik dengan segera selepas insiden Muhammad Adib diserang.

“Tiada video sepenuhnya berhubung kejadian. Oleh demikian, pencarian perlu bermula daripada berlakunya kejadian bukannya daripada bedah siasat.

“Malah, dalam forensik terdapat dua iaitu klinikal forensik (ketika hidup) dan patologi forensik (meninggal dunia). Sekiranya sudah meninggal dunia, kedua-dua pemeriksaan perlu bergabung untuk mencari punca kematian,” katanya.

Sementara itu, Dr Shahrom memberitahu mahkamah, beliau berpendapat semua bukti dikemukakan sudah mencukupi tetapi tidak lengkap.

Beliau menerangkan, bukti berkenaan cukup selepas menggabungkan laporan dikeluarkan Jabatan Forensik HKL bersama eksprimen yang dilakukannya.

“Tetapi jika pakai laporan itu saja, ia tidak cukup. Saya kata benda ini (bukti) cukup jika gabungkan betul-betul tetapi bukti hanya cukup untuk prosiding inkues sahaja.

“Bagi saya, jika mahu buktikan kes jenayah, ia tidak cukup,” katanya.

Sementara itu, Rofiah berkata, keputusan memanggil pakar fizik untuk membantu prosiding inkues membabitkan pengiraan daya hentaman akan diputuskan esok pagi berserta keputusan memanggil seorang lagi pakar patologi.

Terdahulu, Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin mencadangkan seorang lagi pakar patologi dipanggil dalam prosiding inkues berikutan mempunyai dapatan berbeza daripada dua pakar.

-BeritaHarian