ORANG dulu-dulu, nak cari sebiji jerawat di muka pun payah… tak perlu pakai produk mahal-mahal… bedaksejuk beras saja rahsianya…” itulah antara kata-kata Maimunah Latif, 84, seorang pengusaha bedak sejuk.

Bertemu Maimunah yang masih giat menghasilkan bedak sejuk beras secara turun temurun di rumahnya, merupakan satu pengalaman yang sangat berharga, yang tidak mungkin dilupakan.

IMG_8081

Oleh kerana pembuatan bedak sejuk secara tradisional semakin berkurangan, peluang meninjau cara pembuatannya di Kampung Serdang, Sitiawan begitu mengujakan.

Walaupun pembuatan bedak sejuk daripada beras adalah warisan turun temurun, tetapi ramai yang tidak mahu ambil tahu, lebih-lebih lagi dengan lambakan produk kecantikan yang menawarkan penyelesaian masalah kulit wajah.

Malah, kini telah wujud inovasi bedak sejuk dalam bentuk cecair yang dibotolkan.

Enam Bulan Hingga Setahun Rendam Beras

Ketika kaum wanita berlumba-lumba mencari produk kecantikan sehingga menelan belanja ribuan ringgit, mereka terlupa akan kewujudan bedak sejuk beras yang mudah dan murah.

Ia mungkin kerana bedak sejuk hanya dihasilkan pada tempoh masa tertentu dan cara pembuatannya sedikit rumit berbanding bedak sejuk moden.

“Setakat ini, opah hanya buat bedak sejuk untuk kegunaan sendiri sahaja atau mengubati kanak-kanak yang mengidap demam campak.

“Belum pernah lagi dijual sebab hendak membuatnya memang renyah (rumit) dan banyak bergantung kepada cuaca,” kata Maimunah yang membahasakan dirinya sebagai opah.

IMG_8070

Lebih Lama, Lebih Sejuk

Beras yang digunakan perlu direndam terlebih dahulu di dalam air selama enam bulan atau setahun dan lebih lama direndam, maka lebih sejuk jika disapukan pada muka.

Kuantiti beras yang hendak digunakan pula mengikut kepada keperluan sendiri.

“Kalau dahulu, opah menggunakan beras yang tidak ada kandungan kanji dan air rendaman akan disalin (tukar) untuk mengelakkkan beras menjadi busuk.

“Rahsia bedak sejuk yang baik adalah yang diperam lama, makin lama diperam, makin bagus kualitinya. Tetapi sekarang orang semakin kurang sabar dan mahu semuanya cepat,” kata Maimunah.

Proses Menjemur Dan Titik Bedak Sejuk

Bagi Maimunah yang mempelajari cara pembuatan bedak sejuk dari orang-orang terdahulu, jika betul cara penyediaannya, maka ia mampu memulihkan masalah jerawat dan demam campak.

Menurutnya, setelah beras bertukar menjadi tepung, ia akan diramas atau dikisar dan ditapis menggunakan kain putih atau penapis bagi memastikan semua airnya keluar.

“Letak beras yang sudah hancur dalam kain dan ikat sampai tegang untuk air keluar, kemudian jemur dalam dua atau tiga hari. Bila nak bancuh baru letak air ikut kesesuaian.

Guna Daun Rambutan Atau Daun Pisang

“Selepas itu bancuhan dimasukkan dalam daun, boleh gunakan daun mempelam, daun pisang atau rambutan. Buat bentuk macam corong dan titikkan ke atas kain, saiznya bergantung kepada kehendak masing-masing,” katanya.

Jika mahu memberikan variasi kepada bedak sejuk, bancuhan boleh dicampurkan dengan hirisan daun pandan, bunga tanjung, cempaka atau limau purut.

Bagaimanapun, kebiasaannya, campuran itu dilakukan setelah semua proses awal selesai, bagi mengelakkanbedak sejuk yang disimpan berbau hapak atau rosak.

“Insya Allah kalau kita sapukan bedak sejuk di muka, hasilnya tidak menghampakan kerana sejak dahulu, memang kami hanya menggunakan produk ini,” kata Maimunah.