KUALA LUMPUR : Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin tidak layak menjadi menteri kerana suaminya mempunyai anak syarikat perladangan kelapa sawit di Indonesia yang menjadi punca jerebu di negara ini.

Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata, Bee Yin sepatutnya melepaskan jawatannya kerana syarikat perladangan suaminya itu akan berlaku ‘conflict of interest’ yang boleh dipertikaikan oleh masyarakat.

Tambahnya, beliau berasa kesal dengan tindakan menteri itu yang tidak mampu menyelesaikan masalah jerebu berikutan syarikat suaminya turut tersenarai sebagai punca kebakaran hutan di negara jiran tersebut.

“Kegagalan beliau menjalankan tugas sangat mengecewakan kerana ia melibatkan keselamatan rakyat di kedua-dua buah negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nicole, memang bukan seorang sahaja menteri Kabinet daripada Pakatan Harapan perlu meletakkan jawatan berikutan kegagalan menjalankan tugas, tapi keadaan Bee Yin jauh lebih serius berbanding menteri lain kerana ia melibatkan keselamatan nyawa rakyat.

Katanya, Bee Yin tidak sesuai menyandang jawatan itu kerana ketidakupayaan menangani masalah Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.