KUALA LUMPUR: Sebanyak 150 beg galas jenama Deuter tiruan yang dijual di tiga premis pusat beli-belah di Jalan Imbi dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam operasi dijalankan baru-baru ini.

Operasi dijalankan bersama pengedar sah jenama Deuter di negara ini iaitu Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) dan pemilik jenama itu iaitu Stabilo Malaysia (Stabilo) membabitkan nilai rampasan sebanyak RM30,000.

Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kegiatan penjualan produk Deuter tiruan dikesan hasil maklumat awam mengenai kebanjiran produk berkenaan di pasaran.

Katanya, beg galas berkenaan dijual sebagai produk asli dan kebanyakan pembeli tertipu apabila mendapati kualitinya sangat teruk apabila beg galas yang dibeli lebih mudah koyak berbanding jenama asli yang tahan lasak.

“Berpandukan maklumat yang kita ada, UFL dan Stabilo akan menjalinkan kerjasama erat dengan KPDNKK bagi menjalankan lebih banyak lagi serbuan terhadap produk tiruan yang menggunakan jenama Deuter ini.

“Sejujurnya, saya kesal apabila usaha kami memasarkan barangan berkualiti diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut untung mudah,” katanya.

Radha berkata, pihaknya kini dalam usaha membanteras penjualan beg galas tiruan berkenan di pasaran dan berharap orang ramai membeli daripada wakil pengedar serta penjual yang sah untuk mengelak ditipu.

Katanya, produk asli Deuter datang dalam pakej jaminan servis sepanjang hayat serta jaminan dua tahun waranti pengeluar jika barangan dibeli pengguna mengalami cela.

“Jaminan ini tidak ada pada produk tiruan Deuter dan bagi mengelak sebarang masalah serta kerugian terhadap tuntutan, kita sarankan agar pembeli membuat semakan waranti terlebih dulu dengan penjual serta pengedar.

“Ini bagi mengelak pengguna daripada terbeli produk Deuter palsu dan salah satu cara untuk mengesan sama ada barangan itu asli atau tiruan,” katanya – berita harian