KUALA LUMPUR: Seorang bapa mengesyaki kematian anaknya yang terbabit dalam satu kemalangan di Taman Len Seng, Cheras di sini, Ahad lalu, berpunca daripada kerosakan beg udara kereta jenis Honda City dipandu mangsa.

Pong Yew Loong, 46, mendakwa hasil bedah siasat pihak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati punca kematian anaknya akibat tusukan besi sepanjang dua sentimeter yang menembusi kiri leher hingga ke tengkuk mangsa.

“Tiada kesan kecederaan lain pada tubuhnya atau sebarang kecederaan dalaman tetapi yang paling ketara adalah luka pada lehernya akibat tusukan besi berkenaan.

“Besi itu dipercayai mampu menyebabkan kecederaan sekiranya ada letusan kuat, susulan itu kami periksa kereta dan dapati beg udara sebelah tempat duduk penumpang pecah,” katanya ketika ditemui di Kwong Tong Cemetery Funeral Parlour di sini, hari ini.

Susulan itu katanya, beliau mengesyaki punca kematian anaknya adalah disebabkan kerosakan beg udara sebelah tempat duduk penumpang yang menyebabkan besi berkenaan terpelanting dengan kadar kelajuan tinggi sehingga menembusi leher anaknya.

Difahamkan, dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Pong Hou Tien, 23, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandunya terbabas melanggar tiang lampu.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pelajar tahun akhir jurusan kewangan ekonomi sebuah universiti swasta di sini, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Damai Perdana, Cheras selepas menonton bola di sebuah restoran mamak.

Menurut Yew Loong, kereta berkenaan dibeli daripada sebuah kedai kenderaan terpakai pada 2015 untuk kegunaan harian serta urusan pembelajaran Hou Tien, yang juga anak sulong daripada tiga beradik.

“Kenderaan itu diperbuat pada 2003 dan mungkin ada berlaku kerosakan pada beg udaranya yang kami tidak tahu, mungkin ia berlaku sebelum atau selepas saya membelinya.

“Akibatnya, nyawa anak saya hilang kerana perkara itu yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kami mengetahui perkara itu lebih awal,” katanya sebak.

Tambahnya, pihaknya memohon pihak polis membuat siasatan terperinci berhubung punca sebenar kematian anaknya dan jika terbukti ia berpunca daripada beg udara yang rosak, beliau meminta kerajaan berbuat sesuatu untuk mengelak kejadian sama berulang.

“Saya tidak mahu ibu bapa lain merasai kesakitan dan kesedihan seperti apa yang kami alami kerana kemalangan seperti ini boleh dielakkan.

“Mungkin kerajaan perlu mewajibkan pemeriksaan berkala untuk beg udara setiap kenderaan dan jika pemilik gagal mematuhi, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh menyekat permohonan pembaharuan cukai jalan,” katanya.

INFO:

* Pada Februari lalu, seorang lelaki maut terkena serpihan inflator beg udara di tempat duduk pemandu Honda City buatan 2004 yang meledak selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di sebuah lokasi di Selangor.

Mangsa membeli kenderaan itu daripada kedai kenderaan terpakai dan pemilik pertamanya dipercayai tidak menukar beg udara jenis Takata itu seperti di arah pihak Honda Malaysia selepas ia disahkan bermasalah.

* Pada 21 Julai 2014, seorang wanita dalam sebuah Honda City buatan 2003 turut maut akibat sama.

Susulan kejadian itu, syarikat pembuat kereta dari Jepun berkenaan mengesahkan kira-kira 170,00 kenderaan jenis Jazz, City dan Civic di seluruh dunia yang dipasang dengan beg udara buatan Takata Corp itu berisiko.

Susulan itu, Honda Malaysia menarik balik 15,734 kereta yang dijual antara tahun 2003-2004 membabitkan model City (15,612 buah) dan Jazz yang diimport (122 buah) untuk penukaran beg udara – berita harian