IPOH: Bekalan air bersih kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Air Ganda Temengor di Hulu Perak yang terjejas sejak 9 April lalu berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Air Ganda, kembali pulih mulai Selasa, 14 mei lalu.

Bekalan telah disalurkan melalui pemasangan paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak yang baru daripada LRA Lawin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Lembaga Air Perak (LAP) berjaya menyiapkan projek itu dalam tempoh lima minggu, lebih awal berbanding tiga bulan perancangan awal.

Menurutnya, bagi membekalkan air daripada LRA Lawin, LAP telah membelanjakan sebanyak RM1.32 juta untuk projek ini.

“Dengan siapkan projek yang saya sebutkan, penduduk Air Ganda akan dapat menjalankan ibadah puasa dan merayakan hari raya yang akan datang dengan selesa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan syarikat berkaitan kerajaan Digital Perak Corporation Holdings di sini, pada Khamis.

Menurutnya, bekalan air yang diterima itu boleh digunakan untuk memasak makanan dan minum, di samping kegunaan lain.

Pada 9 April lalu, Lembaga Air Perak (LAP) memberhentikan operasi LRA Air Ganda serta merta selepas diarahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, susulan penemuan sisa arsenik, sejenis logam berat dalam sampel air Sungai Rui.