IPOH- Keadaan bekalan air di negeri Perak berada pada tahap normal dan operasi berjalan seperti biasa walaupun sedang berhadapan dengan musim kemarau kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, pengeluaran air setakat ini turut berada di paras normal dan mencukupi.

“Jumlah takungan air di empangan yang berada di bawah kawalan Lembaga Air Perak juga berada pada para normal, paras air di Empangan Sultan Azlan Shah berada pada paras 241.21 meter dengan kapasiti takungan sebanyak 85 peratus.

“Empangan Air Kuning berada pada paras hampir maksimum iaitu 42.50 meter dengan kapasiti takungan maksimum 42.52 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak 2019 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Ir. Mohd. Yusof Mohd. Isa.

Bagaimanapun ujarnya, semua pihak disarankan agar menggunakan air secara berhemah bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Sebelum ini Pengarah Operasi Cuaca dan Geo Fizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr. Hisham Mohd Anip berkata suhu tertinggi dijangka dicatatkan adalah sekitar 37 hingga 38 darjah celsius melibatkan beberapa negeri di utara iaitu Perak, Kedah dan Perlis.