BAGAN SERAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak memberi jaminan bekalan minyak masak sempena musim perayaan ini mencukupi.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Suhaimi Mat Sari, pada keseluruhannya terdapat 24 syarikat pembungkus di negeri ini yang telah diberikan kuota minyak masak berjumlah 2,859 metrik tan dan ianya mencukupi untuk kegunaan orang ramai setakat ini.
Beliau berkata, setakat ini semua cawangan KPDNKK tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang kekurangan bekalan minyak masak.

“Kita dapati pengeluarannya adalah mengikut peraturan ataupun yang ditetapkan oleh kerajaan. Contohnya ada satu repackers di kawasan Sungai Bogak mereka mendapat kuota sebanyak 105 metrik tan dan dari segi jualanpun saya dapati bahawa ianya mencukupi untuk kegunaan penduduk di Kerian ini.

“‎Ingin saya tegaskan harga paket sekilo minyak masak masih lagi kekal pada harga RM2.50,’’katanya.

Suhaimi berkata demikian kepada pemberita di Pelancaran Pelaksanaan Skim Kawalan Harga musim perayaan Krismas 2016 di Pasar Awam Bagan Serai pada Selasa.

 


Pelancaran Pelaksanaan skim itu telah disempurnakan oleh ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Sementara itu, Sham berkata, dalam tinjauan ke pasar awam itu pagi ini mendapati ramai peniaga menjual barangan keperluan kepada orang ramai pada harga di bawah harga pasaran

Beliau memberikan contoh peniaga menjual sebiji telur gred A pada harga rendah iaitu 32 sen sebiji berbanding harga pasaran 38 sen sebiji.

“‎Masyarakat amat berterima kasih kepada peniaga-peniaga yang bertanggungjawab begini kerana ia memberi peluang mereka menyambut perayaan dengan hati tenang,’’ katanya.