KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan kemudahan bekalan ubat dan alatan perubatan untuk pesara perkhidmatan awam persekutuan serta veteran berpencen melalui fasiliti kesihatan kementerian terbabit.

Ia berikutan perjanjian perkhidmatan pembekalan ubat dan alat perubatan kepada mereka melalui sistem Electronic Medical Automation Supply System (e-MASS) yang disediakan oleh syarikat Oratis Rx Sdn Bhd sudah tamat.

Menurut kenyataan KKM, bagi ubatan dan alat perubatan yang tiada dalam stok KKM, ia adalah dilaksanakan mengikut tatacara sedia ada.

“Sepertimana semua rakyat Malaysia lain yang mendapatkan rawatan di KKM, golongan pesara juga akan terus diberi rawatan perubatan bersubsidi tinggi oleh kerajaan.

“Pesara yang terbabit diminta mendapatkan rawatan di klinik dan hospital KKM supaya rawatan perubatan mereka dapat diteruskan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan bahawa kemudahan bekalan ubat dan alatan perubatan untuk pesara perkhidmatan awam persekutuan dan veteran berpencen tidak diberhentikan seperti disebarkan dalam media sosial.

JPA dalam satu kenyataan semalam berkata kemudahan bekalan ubat dan alat perubatan boleh diperoleh melalui preskripsi pegawai perubatan kerajaan di fasiliti KKM dan hospital universiti.

Sekiranya terdapat permasalahan mengenai kemudahan bekalan ubat dan alat perubatan, pesara kerajaan dan veteran berpencen boleh menghubungi pihak JPA di talian hotline 03-88854099/4037/4014 (waktu pejabat) atau emel pada mypesara@kwap.gov.my bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

-BeritaHarian