TAIPING – Kerajaan Perak memberi jaminan bekalan vaksin dibekalkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi menangani wabak jangkitan rabies atau anjing gila di Mukim Taiping dan Bukit Gantang, di sini, ketika ini adalah mencukupi.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, bekalan vaksin itu sudah dibekalkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri bagi membolehkan agensi itu melaksanakan program suntikan vaksin ke atas semua anjing dan kucing dipelihara penduduk di kawasan diisytihar wabak.

Menurutnya, pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini sedang memantau dan memeriksa keadaan setiap anjing dan kucing yang dipelihara tuan di kawasan Taman Seri Kota Fasa Dua, Pokok Assam dan Tupai Business Centre.

“Saya merayu semua pemilik anjing dan kucing di sekitar kawasan diwartakan wabak rabies supaya segera mendapatkan suntikan vaksin untuk haiwan peliharaan mereka bagi mengelakkan wabak penyakit itu menular.

“Kesemua agensi kerajaan terlibat kini sudah berada di kawasan bagi melaksanakan segala perancangan mengawal dan membendung penularan jangkitan rabies termasuklah inisiatif melupuskan anjing liar dan suntikan vaksin kepada anjing serta kucing bertuan sejak semalam,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sivanesan turut menggesa orang ramai agar tidak khuatir dengan langkah pewartaan Mukim Taiping dan Bukit Gantang sebagai kawasan wabak rabies kerana penularan wabak penyakit masih terkawal.

“Semua agensi kerajaan berkaitan mengambil langkah proaktif memastikan penularan wabak itu terkawal.

“Cuma saya ingin menasihati penduduk supaya segera melaporkan kepada PBT sekiranya ternampak anjing liar berkeliaran di kawasan perumahan masing-masing.

“Bagi mereka yang digigit anjing atau kucing liar, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital berhampiran sebagai langkah pencegahan segera,” katanya.

Sinar Harian difahamkan satu mesyuarat penyelarasan kawalan wabak rabies negeri Perak akan diadakan pada jam 3.45 petang ini yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh bagi membincangkan langkah susulan menangani wabak itu.

Sementara itu, satu operasi memvaksin haiwan peliharaan di sekitar kawasan bermula wabak dijalankan lebih sepuluh kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak bermula jam 8 pagi tadi.

Agensi kerajaan itu turut bertindak meletakkan pelekat berwarna kepada setiap rumah diperiksa di samping memasang rantai khas kepada anjing-anjing bertuan yang sudah diberi suntikan vaksin – sinar harian