IPOH: Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu tidak menolak kemungkinan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dilantik untuk menyertai barisan exco kerajaan Pakatan Harapan bagi negeri Perak yang bakal diumumkannya kelak.

Menurutnya pihaknya kini sedang dalam proses menyediakan senarai calon barisan exco bagi dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Kita akan sediakan senarai itu untuk diperkenankan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, dan saya tidak boleh mendahului perkara itu.

“Kemungkinan besar (most probably, most likely),” jawab Ahmad Faizal ketika ditanya mengenai samada Zainol Fadzi yang keluar parti UMNO untuk menyertai Pakatan akan dimasukkan dalam senarai barisan exco baru.

Zainol yang merupakan bekas Exco Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ADUN Sungai Manik mengambil langkah lompat parti pada Sabtu lalu menyertai Pakatan bagi membolehkan gabungan parti pembangkang itu dapat membentuk kerajaan

Dalam sidang media berkenaan, sekitar 200 borang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diserahkan oleh ahli-ahli bahagian UMNO seluruh negeri termasuk Zainol Fadzi.

Menyentuh perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata Bersatu mengambil pendekatan terbuka untuk menerima mana-mana ADUN BN yang berhasrat menyertai kerajaan Pakatan.

“Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Tun M, mereka adalah amat dialu-alukan, tetapi nak masuk bukanlah nak bersyarat, (mereka) nak datang bersama dengan perjuangan,”katanya lagi.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata dia turut mengemukakan pelawaan menyertai Bersatu kepada Datuk Nolee Ashilin Radzi, yang juga difahamkan telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita Kampar.