IPOH : Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan mengepalai pergerakan Putra di Parlimen Larut, dikatakan sedang berusaha menarik ahli UMNO untuk menyertai parti baharu itu bagi menubuhkan cawangan atau bahagian.

Modus operandinya ialah bergerak dari rumah ke rumah sejak sebulan lalu dengan menggunakan kenyataan yang didakwa mengelirukan rakyat.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, berikutan usaha membawa ahli parti itu untuk menyertai Putra, pihaknya terpaksa bertindak memberikan penjelasan sebenar bagi mengelakkan rakyat daripada tertipu.

“Contohnya dia kata UMNO akan dibubarkan dan Putra ini bakal menggantikan UMNO, jadi marilah tuan puan masuk Putra kerana tidak lama lagi UMNO hendak diharamkan.

“Malahan, dia juga menyatakan kepada ahli kita bahawa parti Putra ini direstui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan itu tidak benar sama sekali,” katanya kepada Utusan Online.

Namun begitu, Muhammad Amin berkata, secara keseluruhannya beliau melihat tidak ramai ahli UMNO yang berminat untuk menyertai parti Putra melainkan sekadar mendengar dan mengambil tahu serta melaporkannya kepada UMNO Bahagian.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak melihat usaha penarikan itu sebagai suatu ancaman sebaliknya menganggapnya ibarat satu cabaran.

“Kita akan lawan balik. Kita ada ahli yang ramai melibatkan 101 cawangan dengan keahlian 15,737 orang.

“Dengan beberapa penjelasan yang telah dibuat, ia mengembalikan ahli-ahli UMNO yang berhijrah kepada Putra dengan berpatah balik kepada kita,” katanya.

Tambah beliau, Larut menjadi sasaran kerana bekas ADUN itu merupakan bekas pemimpin UMNO Bahagian yang telah keluar parti dan pernah bertanding di bawah tiket UMNO tetapi mungkin berasa kecewa selepas tidak dilantik semula untuk penggal berikutnya.

-UTUSAN ONLINE