SUNGAI SIPUT – Seorang bekas anggota tentera lemas ketika menjaring ikan di Sungai Plus, Kampung Tok Bayas, di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Syed Ariff Syed Abu Bakar yang berusia 42 tahun dikatakan keluar menjaring ikan sejak jam 10 pagi semalam dengan meredah sungai.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput mengesahkan menerima panggilan pada 9.40 malam dan sepasukan bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Mangsa disyaki lemas dan dihanyutkan berikutan air sungai yang deras dan kedalaman sungai dianggarkan antara lima hingga tujuh kaki.

“Bomba menjalankan operasi ‘search and recovery’ dengan menggunakan bot dibantu oleh pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak,” kata beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Mangsa dijumpai terapung pada pukul 8.20 pagi tadi tidak jauh dari lokasi mangsa dipercayai dilihat untuk kali terakhir.

“Mangsa dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambah beliau.

Operasi diketuai oleh Jeffrey Abdullah dan tamat sepenuhnya pada jam 8.45 pagi.